KLANG - [DIKEMAS KINI] Masalah brek serta gear dipercayai menjadi punca sebuah lori tanah hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan lain di lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah, Meru pada Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Pemangku Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, siasatan awal itu diperoleh berdasarkan rakaman keterangan yang dijalankan terhadap pemandu lori terbabit.
"Pemandu berusia 35 tahun itu mendakwa lori berkenaan mengalami masalah brek serta gear sebelum dipercayai hilang kawalan.
"Lori itu akan dibawa untuk dijalankan pemeriksaan Puspakom dan Kimia berhubung kemalangan itu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya, kes masih dalam siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Siasatan bagi kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sebarang perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah lori tanah hilang kawalan semasa menuruni jalan berbukit menyebabkan rempuhan tiga kenderaan lain di lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah, Meru, di sini pada Selasa.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.57 pagi turut mengakibatkan enam individu termasuk pemandu lori tanah itu cedera.