Suspek cedera parah dibaling pasu bunga masih dirawat di hospital

Iklan
Dzulkhairi (tengah) ketika ditemui pada program Sesi Dialog: Scammer Tidak Mengenal Mangsa, Duit Kita Jadi Sasaran di sebuah pasar raya di Peringgit, Melaka pada Khamis.

MELAKA - Lelaki yang mengalami kecederaan parah pada bahagian muka selepas dibaling pasu bunga oleh bekas kekasihnya masih dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 38 tahun yang melarikan dan mencederakan bekas teman wanitanya itu masih ditempatkan di wad hospital berkenaan bagi rawatan lanjut.

Iklan
Iklan

“Tindakan lanjut terhadap suspek yang juga seorang pesara akan diambil selepas dia dibenarkan keluar hospital.

"Mangsa yang berstatus janda pula masih menerima rawatan di hospital sama," katanya ketika ditemui pada program Sesi Dialog: Scammer Tidak Mengenal Mangsa, Duit Kita Jadi Sasaran di sebuah pasar raya di Peringgit di sini pada Khamis.

Iklan

Media pada Rabu melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Selasa lalu, suspek dipercayai telah melarikan dan mencederakan bekas kekasihnya berusia 35 tahun selepas wanita itu enggan kembali menjalin hubungan dengannya.

Suspek yang bersenjata pisau dan pedang samurai dikatakan menarik mangsa secara paksa ke dalam kereta sebelum memukul mangsa bertubi-tubi di kepala dan dada.

Iklan

Mangsa bagaimanapun sempat menghantar mesej serta lokasi langsung (live location) kepada bekas suaminya, membolehkan dua adik lelakinya menjejaki suspek di pekarangan sebuah rumah di Alor Gajah.

Ketika berlaku pergelutan, mangsa bertindak membaling pasu bunga ke arah suspek hingga terkena muka lelaki itu menyebabkannya rebah.

Mangsa yang mengalami luka tikaman dan menerima empat jahitan kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menculik dan mendatangkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya.