ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menasihatkan pelajar agar tidak membudayakan amalan buli sama ada secara fizikal mahupun emosi kerana perbuatan itu boleh membawa kemudaratan dan menimbulkan pelbagai masalah kepada semua pihak.
Baginda bertitah, pelajar juga perlu menolak segala bentuk perlakuan tidak bermoral termasuk sikap tidak menghormati tenaga pengajar yang menjadi tonggak utama dalam mendidik generasi muda.
“Beta berhasrat agar budaya hormat menghormati dan berakhlak mulia hendaklah diamalkan,” titah baginda sempena Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa ke-55 di sini pada Khamis.
Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sultan Sallehuddin turut mengingatkan pelajar supaya bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia digital yang semakin mencabar tanpa mengabaikan akar budaya dan nilai agama yang menjadi tunjang bangsa.
“Gunakanlah ilmu untuk kebaikan dan membina masyarakat yang maju, berdaya saing dan berakhlak mulia.
“Beta ingin berpesan agar sentiasa berpegang pada nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni seperti disiplin, hormat-menghormati dan semangat cinta akan ilmu, merupakan kunci kejayaan sebenar,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu, Sultan Kedah juga menekankan pentingnya pemupukan nilai keharmonian, perpaduan dan kedamaian antara kaum sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi yang bersatu padu dan saling menghormati.
“Semangat kebersamaan ini melambangkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini, yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” titah baginda.
Menurut baginda, para pendidik memainkan peranan penting sebagai penggerak utama transformasi pendidikan, bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi turut menyatupadukan pelajar daripada pelbagai kaum melalui aktiviti pendidikan yang selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Sultan Sallehuddin turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atas pengorbanan mereka membimbing anak-anak sehingga berjaya, sambil menyifatkan jasa dan usaha tersebut tidak ternilai dengan wang ringgit.
“Beta bangga melihat usaha sekolah ini yang berjaya membentuk pelajar seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan sehingga menjadi contoh kepada institusi pendidikan lain di negeri ini dan seluruh negara.
“Kejayaan hari ini bukanlah titik akhir, tetapi permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam mencapai kecemerlangan hidup. Teruskan usaha dan permuafakatan agar kecemerlangan sekolah dan pelajar terus meningkat,” titah baginda.
Dalam majlis berkenaan, Sultan Kedah turut mengumumkan sumbangan RM100,000 daripada kerajaan negeri kepada pihak sekolah sebagai galakan untuk meningkatkan lagi pencapaian dalam bidang akademik dan kokurikulum pada masa hadapan.