Sultan Selangor bimbang masih ada rakyat berdegil, tak patuh PKP

Iklan
Sultan Sharafuddin menasihatkan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan demi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat dihentikan. Foto FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan berikutan masih ada rakyat berdegil dan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ketujuh, hari ini.

Baginda bertitah, kedegilan dan sikap pentingkan diri sendiri dalam situasi kritikal ini akan menyusahkan pelbagai pihak khususnya yang berada di barisan hadapan.

Iklan
Iklan

Baginda menegaskan, semua rakyat seharusnya berada di rumah, manakala bagi mereka yang mempunyai simptom wabak koronavirus (Covid-19) pula perlu tampil melakukan pemeriksaan serta pengasingan.

"Beta menggesa individu menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur akhir Februari lalu yang masih berdegil agar tampil untuk menjalani saringan.

Iklan

"Beta khuatir sekiranya penularan wabak ini berlarutan dan jumlah kes jangkitan terus meningkat, ia akan menyebabkan tempoh PKP dipanjangkan lagi.

"Jika itu berlaku, ia akan menjejaskan lagi kegiatan harian rakyat dan memberi impak serius terhadap pendapatan golongan di pelbagai peringkat seperti peniaga dan usahawan kecil," titah baginda menerusi kenyataan dimuat naik di akaun Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Iklan

Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendengar taklimat mengenai kedudukan semasa penularan wabak Covid-19 di Selangor di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Pertemuan itu juga bagi memaklumkan kepada baginda perkembangan terkini hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Menangani Covid-19 Negeri Selangor.

Baginda dalam pada itu turut menasihatkan agar rakyat patuh dan tidak melanggar perintah berkenaan demi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat dihentikan.