Penutup lurang tenggelam di Jalan Larut diganti dalam masa kurang 24 jam

Iklan
Penutup baharu telah dipasang oleh syarikat bertanggungjawab pada awal pagi Khamis.

GEORGE TOWN – Penutup lurang telekomunikasi yang tenggelam ke dalam lubang di Jalan Larut di sini petang Rabu telah siap diganti dengan penutup baharu.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang ketika dihubungi berkata, penutup baharu itu dipasang pada awal pagi Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerja penggantian telah dilaksanakan sepenuhnya oleh pemilik syarikat telekomunikasi berkenaan dengan pemantauan pihak berkuasa tempatan.

“Ia telah diganti dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

Iklan

"Sepatutnya penutup baharu hanya boleh diperoleh dalam tempoh seminggu, namun disebabkan keadaan kecemasan, pihak bertanggungjawab berjaya mendapatkannya semalam dan terus melakukan kerja penggantian pada awal pagi ini," katanya pada Khamis.

Dalam kejadian pada petang Rabu, penutup lurang telekomunikasi ini telah tenggelam kerana reput.

Iklan

Beliau berkata, semasa kejadian, penghadang plastik diletakkan di lokasi sebagai langkah keselamatan sementara sebelum dikeluarkan oleh MBPP selepas kerja penggantian siap dijalankan.

"Keadaan kini selamat seperti sedia kala dan kawasan berkenaan boleh digunakan semula oleh pengguna jalan raya tanpa sebarang halangan.

"MBPP akan terus memantau lokasi berkenaan bagi memastikan struktur penutup baharu berada dalam keadaan baik dan tidak membahayakan pengguna," ujarnya lagi.

Soo Siang menambah, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan hujan serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak kerosakan atau lubang jalan yang boleh mengundang bahaya.

Terdahulu, sebuah penutup lurang telekomunikasi dilaporkan tenggelam ke dalam lubang dipercayai akibat struktur penutup yang telah reput.

Kejadian itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya malah turut menyebabkan kesesakan lalu lintas berikutan keadaan cuaca hujan serta orang ramai yang pulang dari tempat kerja.

Penutup lurang yang tenggelam itu terletak di tengah laluan utama sekali gus memaksa pemandu memperlahankan kenderaan bagi mengelak lubang tersebut.