ARSENAL mencipta sejarah dalam Liga Juara-Juara (UCL) selepas menewaskan Atletico Madrid 4-0 di Stadium Emirates pada awal pagi Rabu.
Gol daripada Gabriel Magalhaes, Gabriel Martinelli dan dua jaringan Viktor Gyokeres memastikan kemenangan bergaya The Gunners.
Kemenangan itu menjadikan Mikel Arteta pengurus pertama mencatat tujuh kemenangan berturut-turut menentang pasukan Sepanyol, selepas menewaskan Real Madrid (dua kali), Sevilla (dua kali), Girona, Athletic Club dan Atletico Madrid.
Mengulas perlawanan menentang Atletico, Arteta mengakui ia sememangnya mencabar dan memerlukan strategi serta disiplin tinggi.
“Sudah tentu saya sangat gembira dan bangga dengan prestasi dan keputusan perlawanan menentang pasukan yang sangat hebat ini.
“Saya kagum dengan apa yang saya lihat di padang hari ini dan juga ketika menganalisis mereka sebelum perlawanan.
“Ia memang perlawanan yang sukar kerana kami perlu bermain lebih agresif,” katanya.
Sejak kembali ke pentas UCL, Arsenal belum pernah dibolosi di Stadium Emirates sepanjang aksi peringkat kumpulan.
Dalam sembilan perlawanan, The Gunners menjaringkan 26 gol tanpa melepaskan sebarang gol di laman sendiri.
Kemenangan ke atas Atletico menonjolkan kepakaran Arteta menundukkan pasukan Sepanyol, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara jurulatih elit Eropah.