Persandingan Diraja Tengku Amir Shah, Afzaa Fadini berlangsung penuh istiadat

Iklan
Sultan Sharafuddin (tengah) bersama Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan merenjis air mawar dan menabur bunga rampai ketika berangkat ke Istiadat Persandingan Diraja Tengku Amir Shah (dua dari kiri) dengan pasangannya, Afzaa Fadiini (tiga dari kanan) di Balairung Istana Alam Shah, Klang hari ini. Foto Bernama

KLANG - Persandingan Diraja Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangannya, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini berlangsung dengan penuh adat istiadat, malam ini.

Istiadat bersejarah itu dimulakan dengan keberangkatan tiba Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada 7.30 malam, yang mencemar duli untuk menyaksikan persandingan pasangan diraja itu.

Iklan
Iklan

Pada 7.45 malam, pasangan pengantin diraja yang kelihatan kacak dan anggun bergaya dengan persalinan diraja berwarna krim itu tiba dengan diiringi kerabat diraja Selangor.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor kemudian berkenan untuk memulakan upacara merenjis bagi kedua-dua mempelai.

Iklan

Upacara merenjis kemudian diteruskan oleh bonda kepada Raja Muda Selangor, Puan Nurlisa Idris Abdullah, diikuti ibu bapa pengantin perempuan.

Majlis itu kemudiannya disempurnakan dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir bagi memohon keberkatan daripada ALLAH sebelum diteruskan dengan Majlis Santapan Diraja di Balai Santapan Diraja.

Iklan

Turut hadir memeriahkan istiadat itu ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, kerabat diraja, pegawai kanan kerajaan, serta jemputan kehormat lain.

Tengku Amir Shah dan Afzaa Fadini selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja di Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah pada 2 Oktober lepas.

Pasangan pengantin diraja itu dinikahkan oleh Mufti Selangor dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah dan Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Setia Putra dalam istiadat pernikahan yang diadakan secara tertutup.

Akad ijab dan kabul dilafazkan pada 10.08 pagi dengan sekali lafaz, disusuli 11 das tembakan meriam oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) sebagai menandakan istiadat pernikahan telah disempurnakan.

Dalam pada itu, pasangan pengantin diraja dijangka mencemar duli menyantuni rakyat jelata dalam Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat yang dijadualkan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 7 November ini bermula 8 hingga 11 malam. - Bernama