Sidang Kemuncak ASEAN: Malaysia jamin keselamatan pemimpin dunia - PM

Iklan
Anwar (kiri) bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Rabu. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Malaysia memberi jaminan keselamatan sepenuhnya kepada semua pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hujung minggu ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan keselamatan telah diarahkan mengambil langkah menyeluruh bagi memastikan perjalanan sidang berjalan lancar tanpa sebarang ancaman.

Iklan
Iklan

“Malaysia mesti memberi jaminan tegas bahawa keselamatan akan dijamin sepenuhnya. Itu keutamaan. Kita tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggagalkan proses tersebut,” katanya pada Sesi Taklimat Bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini, pada Rabu.

Menurut Anwar, walaupun kerajaan tidak menghalang rakyat menyuarakan pendapat termasuk bantahan terhadap kehadiran Trump, kebebasan itu tidak boleh menjejaskan keselamatan dan reputasi negara sebagai tuan rumah.

Iklan

"Bagi saya, ini negara bebas, mereka boleh berbuat demikian (bantahan), tetapi mereka tidak boleh mengganggu penganjuran, perjalanan dan keselamatan kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perhimpunan yang bakal dianjurkan gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantah kehadiran Trump ke Kuala Lumpur pada Ahad ini.

Iklan

Ujar Anwar, walaupun komited menjamin hak bersuara, kerajaaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana kumpulan yang cuba mengambil kesempatan dengan membawa fahaman ekstrem atau mengganggu ketenteraman awam.

“Mereka bebas menyuarakan pendapat, tetapi kita mesti tegas dalam menangkis hujah-hujah melampau dan memastikan keselamatan negara. Tiada siapa akan datang ke sesebuah negara jika keselamatannya tidak terjamin,” ujarnya.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan Malaysia akan terus memainkan peranan aktif sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN, termasuk mengalu-alukan sebarang kemajuan rundingan antara China dan AS yang mampu memberi manfaat kepada rantau ini.

“Jika ada kemajuan dalam rundingan antara China dan Amerika Syarikat, saya akan berasa amat gembira. Rakyat Malaysia patut berbangga kerana ia memberi manfaat besar kepada kita sebagai negara perdagangan,” katanya.

Terdahulu, Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) memberitahu pihaknya merancang akan menganjurkan perhimpunan aman pada di Ampang Park bagi membantah kehadiran Trump.

Sidang Kemuncak ASEAN akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur.