KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas pokok tumbang menimpa kenderaan mereka dalam kejadian ribut serta hujan lebat di beberapa kawasan sekitar ibu negara, petang Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan antara jam 4 petang hingga 5.30 petang berhubung insiden pokok tumbang di lokasi berbeza.
"Pasukan bomba telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan, pemotongan pokok serta memastikan keselamatan awam terjamin," katanya pada Rabu.
Menurut jabatan itu, antara lokasi terjejas termasuk Jalan Metro Prima, Kepong Baru; Persiaran Dutamas, Taman Duta; dan Jalan Burung Balam, Taman Bukit Maluri.
"Di Jalan Metro Prima, seorang wanita berusia 30-an dilaporkan cedera selepas kenderaan dinaikinya dihempap pokok tumbang.
"Sementara di Hartamas Regency, Persiaran Dutamas, seorang lelaki berusia 40-an disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) selepas kenderaannya turut dihempap pokok," katanya.
Tambah JBPM Kuala Lumpur, kesemua insiden berjaya ditangani dengan pantas dan kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan segera di semua lokasi terbabit.
"Pasukan bomba akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat,” katanya.