NIBONG TEBAL – Seorang wanita maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang melintas jalan di Jalan Besar Simpang Ampat, di sini pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, kejadian berlaku pada jam 7.35 malam ketika mangsa sedang melintas jalan dari arah Taman Belibis menuju ke Simpang Ampat.
“Mangsa telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Jay January berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti sebenar mangsa.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita turut melakukan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta mengesan saksi bebas dan kenderaan yang terlibat,” ujarnya.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Inspektor Al-Bukhari Ishak dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian 013-5822366, atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.