IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM14,294,877.22 daripada tujuh syarikat korporat kepada Zakat Perak Al Ridzuan dalam satu majlis di Istana Perak, Changkat Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada majlis itu, Etiqa General Takaful Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairoel Faiezy Hasnan mendahului senarai syarikat pembayar zakat dan menyerahkan RM1.8 juta.
Ia diikuti FGV Holdings Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Fakhrunniam Othman dengan zakat berjumlah RM418,065 manakala Lembaga Tabung Haji (TH) melalui Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mustakim Mohamad menyerahkan zakat berjumlah RM6,773,121.81.
Sumbangan turut diteruskan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Saripol Baharin Karim.yang menyerahkan RM903,690.41, disusuli Pintas Utama Sdn Bhd diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Ir Zainudin Karjan berjumlah RM500,000.
Syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Komersial, Mohd Fauzi Puniran turut menyerahkan RM2.9 juta manakala penyerahan terakhir dilakukan oleh Takaful Malaysia melalui Pengerusi Badan Penasihat Syariahnya, Dr Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani dengan jumlah RM1 juta.
Baginda kemudiannya menyerahkan zakat perniagaan kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Dalam majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Warkah Penghargaan atas penyerahan Aset Wakaf Hotel Seri Warisan Taiping kepada Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).
Warkah tersebut diterima oleh Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Hairolanuar Mohamad.
Dalam kenyataan, Zakat Perak Al Ridzuan memaklumkan, zakat memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam.
"Sehubungan itu, penyerahan zakat oleh syarikat korporat amat memberi manfaat yang besar kepada golongan asnaf di negeri Perak," kata kenyataan tersebut.