AMPANG - Seorang pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang lelaki cedera dalam pergelutan dengan individu yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Pandan Indah di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan pada jam 5.15 petang Selasa.
"Suspek telah direman selama tiga hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan. Kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa sedang mengisi minyak sebelum didatangi seorang lelaki menaiki lori yang menuduhnya memotong giliran.
Mangsa menjelaskan bahawa dia menggunakan pam yang berlainan, namun selepas membuat bayaran, suspek menghampirinya semula sebelum berlaku pertengkaran.
Mohd Azam dilaporkan berkata, semasa kejadian suspek bertindak menyentuh hidung mangsa dengan jarinya sebelum mengeluarkan satu objek tidak dikenal pasti daripada seluar.
Beliau berkata, suspek kemudian mencucuk objek berwarna merah itu ke arah hidung mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.
Pergelutan berlaku antara kedua-dua pihak menyebabkan mangsa mengalami luka pada hidung dan tangan kiri serta bengkak di bahagian belakang kepala.
Menurutnya, pergaduhan itu kemudiannya dileraikan orang awam sebelum suspek beredar menaiki lori dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.