'Haaland mesin gol yang tiada brek'

Iklan
Haaland pastikan City keluar dari Villarreal sebagai pemenang. Foto Agensi

PELEDAK sensasi Manchester City, Erling Haaland terus membuktikan naluri pemusnahnya apabila meledak buat kali ke-12 berturut-turut pada Rabu.

Di Estadio de la Ceramica, Haaland membantu gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menamatkan badi tanpa kemenangan di tempat lawan dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menundukkan Villarreal 2-0.

Iklan
Iklan

Penyerang sensasi Norway itu kini mengumpul 24 gol dalam 14 penampilan luar biasa bersama kelab dan negara musim ini terus menegaskan statusnya sebagai mesin gol paling konsisten di Eropah ketika ini.

City kendalian Pep Guardiola tampak garang sejak wisel permulaan apabila Haaland hampir menjaringkan gol seawal dua minit menerusi tandukan tersasar diikuti rembatan Jeremy Doku yang memaksa penjaga gol Villarreal, Luiz Junior bekerja keras dalam perlawanan disaksikan 20,539 penonton.

Iklan

Gol pembukaan Haaland memperlihatkan ketajaman luar biasa seorang penyerang tulen apabila pantas membaca hantaran rendah Rico Lewis sebelum menyambar peluang di depan Juan Foyth untuk membuka tirai jaringan City minit ke-17.

Dominasi City akhirnya diterjemahkan menerusi jaringan kedua yang dijaringkan kapten pasukan, Bernardo Silva apabila pemain tengah Portugal itu menanduk kemas hantaran silang Savinho minit ke-40 bagi memastikan pasukannya selesa mendahului sebelum rehat.

Iklan

Villarreal cuba bangkit pada separuh masa kedua dengan rembatan Pape Gueye nyaris mencipta kejutan, namun dinafikan Gianluigi Donnarumma sebelum tandukan bekas pemain Chelsea, Renato Veiga sekadar menggegarkan tiang gol di penghujung permainan.

Namun City kekal utuh bertahan untuk mengesahkan tiga mata berharga sekali gus menamatkan kemarau kemenangan di gelanggang lawan dalam saingan Eropah yang berlarutan lebih setahun.

Kemenangan ini turut melanjutkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan buat skuad Citizens, yang kini menghuni tangga kelima liga dengan dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada tiga perlawanan.

Sementara itu, Guardiola berpuas hati selepas Haaland dan Silva masing-masing menemui sentuhan penyudah di Villarreal.

“Saya gembira apabila Haaland terus menjaringkan gol begitu juga Bernardo,” katanya.

Mengenai kemenangan itu, Guardiola mengakui kemenangan ke atas The Yellow Submarine berkenaan amat penting.

“Saya puas dengan kemenangan ini. Mereka juga mempunyai beberapa peluang dan Villarreal adalah pasukan hebat.

“Suasana dalam pasukan kini sangat baik. Separuh masa pertama kami bermain dengan cemerlang, menjaringkan gol pada masa yang tepat dan sentiasa memberi ancaman,” jelasnya.

LIGA JUARA-JUARA

KEPUTUSAN

Barcelona 6-1 Olympiacos

Kairat 0-0 Pafos

Newcastle United 3-0 Benfica

PSV Eindhoven 6-2 Napoli

Bayer Leverkusen 2-7 Paris Saint-Germain

Union Saint-Gilloise 0-4 Inter Milan

Arsenal 4-0 Atletico Madrid

Copenhagen 2-4 Borussia Dortmund

Villarreal 0-2 Manchester City