KUALA LUMPUR – Dunia Muay Thai tempatan bakal menyaksikan gandingan dua generasi hebat apabila juara dunia Muay Thai, Superbon Singha Mawynn dan bintang muda sensasi Malaysia, Johan ‘Jojo’ Ghazali, akan tampil dalam seminar eksklusif sempena Wilayah Pahlawan International Muay Thai Championship (WPIMC) 2.0 yang bakal berlangsung Disember ini.
Acara ini bukan sekadar pertarungan fizikal di gelanggang, tetapi platform pembelajaran dan inspirasi buat peminat serta penggiat seni mempertahankan diri tempatan.
Seminar yang dijadualkan berlangsung pada 7 Disember 2025, jam 8.30 pagi di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, menjanjikan perkongsian ilmu terus daripada dua nama besar yang mewakili kekuatan dan evolusi Muay Thai moden.
Superbon, antara atlet paling disegani di pentas antarabangsa, dikenali dengan teknik tendangan high kick yang menjadi tanda kebanggaannya. Jojo Ghazali pula, yang kini mencipta nama di ONE Championship, pastinya akan memberikan inspirasi besar kepada para peminta sukan Muay Thai negara.
Menurut Presiden Pahlawan Muay Thai yang juga penganjur WPIMC 2.0, Muhammad Faizol, juara dari Thailand, Superbon dan sensasi Muay Thai Malaysia, Jojo sememangnya teruja untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam sukan tempur ini dengan para penggiat dan peminat sukan Muay Thai di Malaysia.
Jelasnya, ketika sesi awal perbincangan bersama dua jaguh Muay Thai ini, mereka bersedia mencurahkan ilmu kepada para peserta yang menyertai seminar ini.
“Superbon dan Jojo memang tak sabar nak kongsikan pengalaman mereka di Wilayah Pahlawan nanti.
“Bagi mereka seminar ini peluang terbaik untuk semua peminat menimba ilmu dan rasai pengalaman sama,” katanya.
WPIMC yang kini memasuki edisi kedua, merupakan kejohanan bertaraf antarabangsa yang diasaskan untuk memperkasa komuniti Muay Thai di Malaysia.
Kejohanan berkenaan sekali lagi mendapat kerjasama baik daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan (MOTAC) dan beberapa penaja lain.
Acara utamanya dijadualkan pada malam yang sama (7 Disember, jam 5 petang), turut menampilkan barisan hampir 400 jaguh tempatan dan antarabangsa dalam beberapa kategori profesional serta amatur.
Jelas Faizol lagi, seminar bersama Superbon dan Jojo adalah inisiatif bagi mengukuhkan hubungan antara juara dunia dan peminat tempatan, di samping memperkasakan mutu latihan serta kesedaran terhadap disiplin Muay Thai.
Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai seminar dan kejohanan WPIMC 2.0 melalui laman rasmi pahlawanchampionship.
Tempat adalah terhad dan pendaftaran awal disarankan bagi mengelakkan kekecewaan.
WPIMC 2.0 bukan sekadar kejohanan, ia simbol kebangkitan Muay Thai Malaysia di pentas antarabangsa.
Dengan dua ikon berbeza generasi bergabung, ini adalah peluang emas untuk menyaksikan sendiri semangat dan disiplin seorang pahlawan sejati.