Kes tikam pelajar: Selangor jamin beri sokongan kepada warga sekolah terlibat insiden - Exco

Iklan
Jamaliah (tengah) ketika membuat tinjauan ke sekolah berkenaan baru-baru ini.

SHAH ALAM – Selangor memberi jaminan untuk terus menyalurkan sokongan kepada warga sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya susulan insiden tragis yang berlaku baru-baru ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, beliau telah mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan dan mengadakan perbincangan bersama pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memahami situasi sebenar serta mendengar pandangan dan keperluan komuniti sekolah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu amat penting bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan sokongan emosi pelajar, guru serta ibu bapa terus terjamin.

“Pejabat saya akan terus berhubung rapat dengan pihak sekolah dan agensi berkaitan bagi menyalurkan sokongan yang diperlukan, termasuk aspek kesejahteraan mental serta langkah-langkah keselamatan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Iklan

Beliau menambah, langkah berkenaan penting bagi memastikan komuniti sekolah dapat pulih dengan tenang serta kembali menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran dalam suasana lebih selamat dan harmoni.

Media sebelum ini melaporkan satu kejadian menyayat hati telah berlaku di sebuah sekolah menengah di kawasan berkenaan apabila seorang pelajar ditemukan maut di kawasan sekolah.

Iklan

Insiden itu mengejutkan warga sekolah dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa mengenai aspek keselamatan serta kesejahteraan mental pelajar.