AJINOMOTO (Malaysia) Berhad (AMB) bersama Leave a Nest Malaysia Sdn Bhd memperkasakan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan belia Asia melalui program Science Castle Asia 2025 (SCAsia2025).
Penyelidikan saintifik oleh 321 pasukan muda dari 10 negara dibentangkan pada SCAsia2025 yang diadakan di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.
AMB menerusi satu kenyataan memaklumkan, program itu menyediakan platform antarabangsa kepada pelajar seluruh Asia untuk membentangkan penyelidikan saintifik mereka dalam usaha menangani cabaran global dan komuniti melalui pembentangan kilat, poster dan lisan.
“Sebagai rakan kongsi utama, AMB memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem Science Castle.
“Berikutan kejayaan penganjuran Science Castle Malaysia di Sarawak, AMB kini meluaskan sumbangan ke peringkat Asia dengan memperjuangkan integrasi sains, inovasi dan kemampanan merentas sempadan melalui inisiatif Penciptaan Nilai Bersama (ASV) Kumpulan Ajinomoto,” menurut kenyataan itu.
Sejak penubuhannya di Jepun pada 2012 dan pengembangannya ke Malaysia pada 2017, Science Castle berkembang menjadi salah satu persidangan penyelidikan belia terkemuka di Asia yang memupuk kreativiti, pemikiran kritis dan kerjasama dalam kalangan saintis muda.
Berlandaskan kejayaan Science Castle Malaysia yang diadakan di Sarawak pada Julai lalu, persidangan peringkat Asia tahun ini menandakan peristiwa penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dan menghubungkan penyelidik muda dari Jepun, Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, India, Rusia serta Myanmar.
Menurut AMB, sorotan utama acara tahun ini ialah Geran Science Castle oleh AMB iaitu program lima bulan yang membimbing pelajar terpilih daripada 10 sekolah di seluruh negara dalam membangunkan dan memperhalusi idea penyelidikan mereka di bawah bimbingan pakar AMB dan LVNSMY.
“Program ini memuncak dengan pembentangan akhir semasa SCAsia2025, yang mana peserta mempamerkan projek inovatif yang memfokuskan kepada kemampanan makanan dan kesejahteraan masyarakat.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kukuh Ajinomoto dalam menyokong pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta memupuk penyelidik muda yang bersemangat untuk menyelesaikan cabaran dunia sebenar,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan SCAsia2025 turut disokong oleh pelbagai rakan strategik termasuk MMU, Focus Systems Co, Ltd (Jepun), Cyberview Sdn Bhd, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kyowa Leather Cloth Co, Ltd dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation Malaysia Berhad.
“Turut bersama menjayakan program ini ialah Sumitomo Corporation Malaysia Sdn Bhd, MSIG Insurance (Malaysia) Bhd, Humoname Lab (Jepun), Innoqua Asia Sdn Bhd, Sustainable Food Asia (Jepun), Tenchijin Inc (Jepun), University of Tsukuba Malaysia (UTMy), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), IR Academy dan SugarBomb,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, program tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian anugerah yang mengiktiraf projek penyelidikan cemerlang dalam pelbagai kategori termasuk Anugerah Geran Science Castle yang disampaikan oleh AMB.
“Pasukan pemenang akan menerima lawatan sambil belajar yang ditaja sepenuhnya ke Science Castle World 2025 di Tokyo, Jepun bagi mewakili Asia di pentas global.
“Pada masa sama, Ajinomoto kekal komited untuk memperkukuh kerjasama antara pelajar, pendidik, penyelidik dan industri, sekali gus memperkasakan generasi masa hadapan untuk membina Asia yang lebih mampan dan inovatif,” jelas AMB.