KOTA BHARU - Sebanyak 153 jeti haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok membabitkan empat daerah di negeri ini akan mula dirobohkan pada 27 Oktober ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, walaupun pihaknya ada menerima banyak provokasi daripada pihak tertentu namun operasi perobohan tetap akan diteruskan secara berperingkat di Pasir Mas dan Rantau panjang.
"Insya-ALLAH ia akan bermula di Pasir Mas dan Rantau Panjang dahulu. Sekarang ini kami menerima banyak provokasi daripada mereka di sana," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Menurut beliau, provokasi yang diterima termasuk cubaan menghalang perobohan serta isu melibatkan hubungan kekeluargaan antara penduduk di kedua-dua negara.
Media tempatan sebelum ini melaporkan menurut Mohd Yusoff, langkah tegas mengekang jenayah rentas sempadan itu melibatkan keseluruhan 212 jeti haram yang dikenal pasti di kawasan sempadan, termasuk di Tumpat dan Pasir Mas.
Daripada jumlah keseluruhan, 153 jeti tersebut berada di tanah kerajaan yang mana ia menjadi keutamaan untuk dirobohkan.
Baki 59 lagi terletak di tanah persendirian dan kini sedang diteliti dari sudut undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.