PNGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengingatkan kesebelasan Harimau Selatan supaya kekal fokus sepanjang aksi berdepan Chengdu Rongcheng FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, petang Selasa bagi meraih mata berharga.
Menurut Munoz, skuad kendaliannya dijangka berdepan tentangan sengit daripada skuad The Panda yang dibarisi ramai pemain kebangsaan China.
“Pertamanya, saya rasa perlawanan esok (petang ini) merupakan perlawanan yang sukar, namun kita perlu terus kekal fokus seperti perlawanan lain sebelum ini.
“Kita juga telah melawat venue perlawanan dan menjangkakan suasana yang sengit berdasarkan persiapan yang dilakukan pihak lawan, terutamanya melibatkan keadaan padang di stadium.
“Apa pun, pemain diharap dapat memberikan aksi terbaik bagi berdepan kesebelasan pemain lawan yang pastinya menampilkan ramai pemain berkualiti,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan pasukan, tonggak pertahanan Harimau Selatan, Eddy Israfilov, menegaskan bahawa mereka hanya mahu menumpukan perhatian kepada perlawanan.
“Tidak ada apa yang boleh diperkatakan mengenai persiapan pasukan. Kami telah bersedia dengan cukup baik untuk perlawanan ini.
“Oleh itu, kita tunggu sahaja perlawanan ini bermula,” katanya.