Wanita berdepan cemas kereta dipandu dihempap pokok

Iklan
Anggota bomba membersihkan sisa dahan pokok di sekitar lokasi kejadian.

BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita berusia 31 tahun berdepan detik cemas apabila keretanya dihempap dahan pokok di Jalan Medan, Taman Kota Permai di sini pada malam Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.48 malam itu, mangsa yang memandu kereta jenis Nissan Sylphy dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.48 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi pada jam 10.56 malam, pasukan mendapati dahan pokok telah tumbang dan mengenai sebuah kereta yang sedang melalui kawasan berkenaan.

Iklan

“Tiada kerosakan dilaporkan pada kenderaan terbabit dan pemandu berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan sisa dahan pokok di kawasan tersebut bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.

Iklan

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.41 malam.

Dalam kejadian berasingan, sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar dalam kejadian di Solok Rajawali 2, awal pagi Selasa.

John Sagun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.17 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Bayan Baru dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian pada jam 1.24 pagi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton dengan kemusnahan dianggarkan sebanyak 10 peratus.

“PKO segera menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan api bagi mengelakkan kebakaran merebak ke bahagian lain,” katanya lagi.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.35 pagi sebelum operasi ditamatkan enam minit kemudian.