PATNA - Seorang warga emas sanggup memalsukan kematiannya dan mengadakan upacara pengebumian olok-olok hanya untuk melihat siapa yang akan hadir.
Pada mulanya, penduduk di Konchi, sebuah perkampungan di negeri Bihar terkejut selepas menerima berita pemergian Mohan Lal pada usia 74 tahun.
Mereka turut melakukan kesemua upacara tradisional sebelum veteran tentera udara itu bangkit dari keranda secara tiba-tiba.
"Saya hanya mahu melihat siapa yang akan datang untuk beri penghormatan terakhir kepada saya dan kasih sayang yang ditunjukkan mereka," katanya ketika menjelaskan tujuan dia berbuat demikian.
Bagi menampakkan ia seperti kematian sebenar, Mohan turut meminta saudara-maranya menghebahkan khabar sedih itu kepada orang lain dan membawa kerandanya ke krematorium.
Ratusan penduduk dilaporkan hadir dan hal itu menggembirakan Mohan.
Difahamkan, dia turut mengadakan jamuan untuk komuniti setempat bagi menghargai kehadiran mereka pada upacara pengebumian olok-oloknya. - Agensi