Isteri maut, suami cedera kereta terbabas langgar tembok

Iklan
Nur Syuhada yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan yang hadir ke lokasi. Foto IPD Muallim

TANJUNG MALIM - Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 96 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Nur Syuhada Mohd Yusoff, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Aiman Shah Asba, 34, yang memandu kereta jenis Toyota Vios, mengalami kecederaan ringan.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad berkata, semasa kejadian, pasangan terbabit dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur.

Kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan kiri. Foto IPD Muallim

Iklan

“Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, impak pelanggaran itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke laluan bertentangan.

Iklan

“Penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan yang hadir ke lokasi.

"Pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut," katanya.

Tambah Suhaimi, pemeriksaan mendapati kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan kiri.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi