PETALING JAYA – Remaja lelaki yang ditahan berhubung kes tikam membabitkan pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini baru-baru ini akan dibawa untuk permohonan sambung reman pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, permohonan itu dibuat berikutan tempoh reman suspek telah tamat.
"Suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 15 Oktober hingga 21 Oktober dan akan dibawa ke mahkamah untuk proses permohonan sambung reman pada esok (Selasa) kira-kira jam 8 pagi.
"Kertas siasatan berkaitan kes ini akan dirujuk buat kali pertama kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Rabu ini untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Shamsudin berkata, setakat ini polis telah merakam keterangan 148 saksi bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun di kawasan tandas perempuan sekolah berkenaan.
Suspek kemudian ditahan dan direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.