LIPIS – Perjalanan pulang seorang pengurus majlis perkahwinan bertukar tragedi apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 22, Jalan Sungai Koyan–Cameron Highlands, Kampung Meter, Sungai Koyan, pada petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Tuan Zulhilmi Tuan Zulkefly, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R25 datang dari arah Cameron Highlands menuju ke Marang, Terengganu untuk pulang ke rumah.
Menurutnya, pemandu MPV jenis Toyota Wish yang berusia 50 tahun pula dalam perjalanan dari Kuantan ke Cameron Highlands untuk bercuti.
"Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal telah bertembung dengan MPV yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau turut meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dan menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta berhemah ketika memandu.