SHAH ALAM – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meneruskan komitmen membantu keluarga yang kehilangan tempat bergantung akibat pandemik Covid-19 dengan menziarahi dua keluarga sempena sambutan Deepavali.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lawatan itu merupakan antara usaha berterusan yayasan berkenaan bagi memastikan tiada anak yatim atau keluarga tercicir daripada perhatian kerajaan dan masyarakat.
"YKM ditubuhkan untuk membantu anak-anak yang kehilangan tempat bergantung akibat Covid-19.
"Kita akan bantu mereka dari segi pendidikan hingga tamat pengajian," katanya menerusi kenyaaan pada Jumaat.
Dalam program ziarah di Taman Merlimau Utara, Melaka, beliau bertemu S Mittra, 16, yang kehilangan bapa pada Februari 2022 dan kini menumpang di rumah bapa saudaranya selepas terputus hubungan dengan ibu kandung.
Lawatan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh yang menyalurkan maklumat mengenai keluarga berkenaan kepada YKM.
Sementara itu di Bukit Beruang, Ismail Sabri menyantuni S Vigneswari yang kehilangan suami akibat Covid-19 dan kini tinggal bersama anak lelakinya, M Sutharshanan, 17.
Kedua-dua keluarga tersebut akan menerima Bantuan Kasih berjumlah RM250 sebulan serta bantuan tambahan seperti bantuan perayaan dan bantuan persekolahan bermula bulan ini.
Selain itu, 10 keluarga India lain di seluruh negara bakal menerima bantuan sempena Deepavali.