IPOH – Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 yang berlangsung mulai hari ini dijangka menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa termasuk dari Thailand.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, penganjuran festival tersebut bertujuan mengembalikan kegemilangan durian Kampung Gajah yang pernah menjadi ikon buah tempatan serta memperkenalkannya semula sebagai produk premium berpotensi besar di pasaran antarabangsa.
Menurutnya, festival yang dianjurkan oleh Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah dengan kerjasama Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) dijangka mampu menarik kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung meneroka sekitar Kampung Gajah dan Pasir Salak dalam tempoh lebih 40 hari sehingga 30 November depan.
"Sepanjang festival ini, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung termasuk pakej makan durian, jelajah kebun durian menggunakan basikal, jalan kaki santai di kebun serta pakej edu-pelancongan khas untuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
"Kita juga akan menerima kunjungan khas delegasi daripada Gabenor Thailand dan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) sebagai simbol jalinan kerjasama serantau,” katanya kepada pemberita di Rumah Media Perak di sini pada Khamis.
Nordin berkata, pelbagai kursus turut disediakan untuk peserta antaranya kursus durian Malaysia–Thailand, ternakan ikan di kolam simen, asas kendalian dron pertanian dan pembuatan tembikar bunga tampal.
Menurutnya, festival itu turut menampilkan aktiviti sampingan seperti demonstrasi memasak, pembuatan kraftangan serta pameran produk tempatan.
Beliau menegaskan, festival itu bukan sahaja menjadi platform memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand malah membuka peluang keusahawanan kepada penduduk setempat.
"Inisiatif ini merupakan langkah strategik untuk melonjakkan kembali nama Kampung Gajah sebagai pengeluar durian terbaik negara selain menjana ekonomi komuniti, memupuk semangat perpaduan serta mengangkat martabat produk tempatan ke peringkat global.
"Dengan sokongan semua pihak, saya yakin festival ini mampu menjadi acara berprestij yang memberi impak besar kepada masyarakat dan ekonomi negeri,” katanya.