KUALA LANGAT – “Saya hanya mampu sebut kalimah ALLAH berkali-kali.”
Demikian luahan Nusiah Kasim, 83, antara mangsa ribut yang melanda Kampung Medan, Telok Panglima Garang pada Rabu.
Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dia berada di rumah bersama anak, menantu, cucu serta cicitnya sebelum dikejutkan dengan deruan angin luar biasa kuat.
"Masa tu saya tengah pegang cicit sebab dia takut dengan petir, tiba-tiba dengar bunyi macam ada benda jatuh.
"Kejadian berlaku dengan begitu pantas, tengok luar nampak kepingan bumbung berterbangan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nusiah berkata, dalam keadaan panik, dia hanya mampu beristighfar sambil memeluk cicitnya erat-erat.
"Mujurlah masa tu kami berada di rumah salah seorang anak yang terletak beberapa meter di belakang rumah saya.
"Angin kuat disusuli bunyi menakutkan, apa pun saya bersyukur kerana kami semua selamat dalam kejadian ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zainah Abdul Majid, 52, turut berkongsi detik cemas apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat.
"Mula-mula ingatkan bunyi monyet lari atas bumbung, tapi lepas tu dengar seolah-olah bunyi seperti letupan kecil.
"Bila nak buka pintu, angin tolak balik pintu tu. Keadaan berlaku begitu pantas, sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mampu melihat dalam keadaan cemas apabila mendapati rumah jiran turut rosak teruk dengan zink dan serpihan bumbung berterbangan.
"Saya tinggal di sini dah 25 tahun, tak pernah jadi kejadian macam ni.
"Suami pula masa tu kerja, jadi saya seorang di rumah. Memang menakutkan,” ujarnya.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan berkenaan mendapati beberapa rumah di sekitar Kampung Medan mengalami kerosakan pada bumbung serta struktur dinding akibat angin kencang.
Turut kelihatan beberapa penduduk bergotong-royong menjalankan kerja-kerja membaik pulih rumah dengan bantuan jiran serta pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, seramai 11 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan cedera ringan dalam insiden ribut dan puting beliung berkenaan.
Beliau berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 4.15 petang itu turut mengakibatkan kerosakan pada 40 rumah, lima sekolah serta sebuah dewan orang ramai di kawasan terjejas.
Menurutnya, antara lokasi terlibat ialah SMK Sijangkang Jaya, SK Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SRA Kampung Medan, SK Jalan Tanjung serta Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan.
Tambah beliau, daripada 11 murid yang cedera, lima menerima rawatan di Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang, manakala enam lagi dibawa pulang selepas pemeriksaan awal.
Jelas beliau, selain itu, seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian mata manakala seorang wanita patah kaki selepas dihempap besi ketika kejadian dan kedua-duanya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,