Seorang maut, 4 cedera lori bawa muatan PVC terbabas

Iklan
Lori muatan PVC yang terbabas menyebabkan seorang penumpangnya maut di KM 373.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Slim River malam tadi.

SLIM RIVER – Seorang lelaki maut akibat tercampak dari lori yang dinaiki selepas kenderaan itu terbabas di Kilometer (KM) 373.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini malam tadi.

Mangsa, A Selvam 46, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Slim River di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 malam ketika lori jenis rigid kargo dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan terbabas di lorong tengah lebuh raya.

Iklan

“Akibat pelanggaran itu, muatan lori berupa paip PVC terpelanting ke laluan bertentangan dan terkena dua penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut dari arah Behrang ke Trolak.

“Insiden itu turut menyebabkan penumpang hadapan kiri lori tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mohd Hasni berkata, pemandu lori dan seorang lagi penumpang cedera ringan manakala dua penunggang motosikal masing-masing berusia 37 dan 20 tahun mengalami patah bahu serta cedera di bahagian kaki dan tangan.

“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mohd Hasni berkata, punca kemalangan dipercayai akibat lori terbabit hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.