BUKIT MERTAJAM - Seorang anak yatim yang menghidap masalah jantung memerlukan bantuan orang ramai sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan segera.
Pembedahan itu penting buat Muhammad Saifuddin Saaban, 12, dalam usaha menyelamatkan nyawa kanak-kanak dari Ayer Itam itu kerana keadaannya semakin teruk.
Ibunya, Siti Rafizah Mohd Razali, 40, berkata, anak ketiganya itu dikesan dengan masalah tersebut semasa berusia sebulan apabila disahkan mengalami kecacatan jantung, Tetralogy of Fallot (TOF).
Menurutnya, Muhammad Saifuddin pernah menjalani pembedahan jantung semasa berusia dua tahun dan membesar dengan baik dalam tempoh 10 tahun.
Namun pemeriksaan susulan yang dilakukan baru-baru ini mendapati terdapat pembengkakan pada jantungnya.
"Semasa pemeriksaan pada Julai lalu, doktor mendapati Muhammad Saifuddin mengalami kebocoran injap yang teruk.
"Dia perlu menjalani pembedahan dada terbuka untuk menggantikan injap pulmonari sebagai usaha menyelamatkan nyawa anak saya," katanya ketika ditemui di pada Rabu.
Siti Rafizah yang kematian suami akibat demam chikungunya pada lima tahun lalu berkata, dia tidak mampu untuk menanggung kos pembedahan yang tinggi dan merayu ehsan orang ramai bagi mengumpul dana pembedahan untuk anaknya.
Jelasnya, selain Muhammad Saifuddin, beliau juga membesarkan tiga lagi anak berusia lapan,14 dan 18 tahun dengan bekerja sebagai penjaja dan pembantu gerai sebagai sambilan.
Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, selepas meneliti keperluan keluarga itu, pihaknya bersetuju bagi membantu mengumpul dana orang ramai dengan jumlah yang diperlukan tersebut.
"Siti Rafizah ada mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat untuk meringankan beban kos sara hidup.
"Dia seorang yang cekal apabila tetap berusaha mengumpul wang sendiri bagi pembedahan itu, namun hanya mampu menggumpul RM2,000 setakat ini,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817).