IMFC-J tarik potensi pelaburan RM29.51 bilion di JS-SEZ setakat 15 September - PM

Iklan
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa ke-35, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar di Putrajaya pada Rabu. Foto Pejabat Perdana Menteri

PUSAT Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) berjaya menarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi tempoh Januari hingga 15 September ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman X, beliau berkata, ini sekali gus menunjukkan zon ekonomi tersebut terus mencatatkan momentum luar biasa dalam menarik pelaburan strategik antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Bagi separuh pertama 2025 sahaja, jumlah pelaburan diluluskan di JS-SEZ telah mencecah RM37 bilion, bersamaan 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan di negeri Johor yang bernilai RM56 bilion.

"Perkembangan positif ini dimaklumkan semasa saya mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa (MOA) ke-35, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) hari ini,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Iklan

Beliau, yang juga Pengerusi Bersama IRDA berkata, mesyuarat itu turut meneliti kemajuan pelaksanaan JS-SEZ termasuk sektor berpotensi, kesan pelaburan semasa serta langkah memperkukuh fasilitasi pelaburan, khususnya melalui Zon Kewangan Khas Forest City.

"Saya turut menegaskan pentingnya pembangunan di Iskandar Malaysia diselarikan dengan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi agar kemajuan wilayah ini bersifat inklusif bagi memastikan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir daripada arus kemakmuran,” kata beliau. - Bernama

Iklan