Shopee lancar pakej RM50 juta Rai Lokal bantu PMKS tempatan

Iklan
Shopee melancarkan pakej pertumbuhan RM50 juta ‘Shopee Rai Lokal’ bagi memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

SHOPEE melancarkan pakej pertumbuhan RM50 juta ‘Shopee Rai Lokal’ bagi memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta membantu usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan dalam ekonomi digital negara.

Pengarah Shopee Malaysia, Saovanee Chan-Somchit berkata, inisiatif itu bertujuan membantu usahawan tempatan memperkukuh keupayaan serta meningkatkan penglibatan dalam ekonomi digital negara yang pesat berkembang.

Iklan
Iklan

“Ia menyediakan pelbagai alat, latihan dan insentif bagi membolehkan PMKS membina perniagaan dalam talian yang mampan. Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mempromosikan produk serta usahawan tempatan, pakej bernilai RM50 juta itu turut menyokong penyertaan digital secara inklusif.

“Ini termasuk menawarkan bantuan menyeluruh daripada meningkatkan prestasi kedai dan kecekapan operasi sehingga memperluas akses ke pasaran baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Shopee Rai Lokal merangkumi pelbagai bentuk sokongan termasuk pengecualian komisen sehingga RM2,000 bagi penjual baharu, pengecualian fi Platform Support, percubaan enam bulan percuma bagi perkhidmatan Fulfilled-by-Shopee (FBS) serta penyertaan percuma dalam program Shopee Cashback selama 120 hari.

Selain itu, penjual turut menerima baucar kredit iklan bernilai RM60, akses kepada program perlindungan pulangan hasil iklan (ROAS Protection Programme) serta bimbingan melalui komuniti ShopeeXpert dan webinar Shopee University.

Iklan

Syarikat itu turut memperkukuh pertumbuhan PMKS melalui inisiatif pelengkap seperti Shopee International Platform (SIP) dan program Direct yang membuka peluang eksport ke pasaran Singapura, Thailand dan Filipina.

Kemudahan pinjaman SLoan for Sellers juga disediakan bagi membantu penjual mengembangkan operasi, menambah inventori dan memanfaatkan peluang baharu dalam pasaran digital.

Saovanee menegaskan Shopee kekal utuh dalam usaha menyokong dan memperkasa PMKS tempatan secara praktikal serta berkesan.

“Ketika meraikan ulang tahun ke-10 Shopee di Malaysia, fokus kami tidak berubah iaitu membantu penjual membina perniagaan kukuh dan mampan dalam talian.

“Menerusi pakej Rai Lokal ini, kami ingin terus berjalan seiring dengan komuniti penjual tempatan sebagai rakan dalam kejayaan jangka panjang mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya menyambut baik komitmen Shopee menerusi pakej pertumbuhan tersebut yang selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Belanjawan 2026.

“Langkah ini seiring dengan peruntukan RM20 juta bagi inisiatif Beli Produk Malaysia serta tema utama KPDN bagi tahun 2025 iaitu ‘Jom Beli Lokal’.

“Semua inisiatif ini mencerminkan tekad bersama untuk memperkasa usahawan tempatan agar terus berkembang dan berdaya saing dalam era ekonomi digital,” ujarnya.

Tambah beliau, sokongan berterusan dan kolaborasi strategik seperti ini bukan sahaja mengukuhkan ekosistem keusahawanan negara malah memupuk kebanggaan terhadap produk buatan Malaysia.

“Melalui usaha ini, jenama tempatan akan mampu berdiri teguh di pentas serantau dan global,” katanya.

Sementara itu, pengasas kedai barangan rumah Hiasani, Raymond Leong berpandangan, kemudahan yang disediakan Shopee banyak membantu memudahkan urusan perniagaan dalam talian.

“Shopee mempermudahkan semua urusan daripada penghantaran hingga pengiklanan dan kempen.

“Selepas belajar mempersembahkan produk dengan lebih berkesan, jualan saya meningkat sebanyak 40 peratus,” katanya.

Seorang lagi usahawan tani yang kini berjaya menjual produk cili secara dalam talian, Mansur Remely berkata, Shopee telah membuka peluang baharu untuknya membina sumber pendapatan lestari.

“Shopee memberi peluang untuk saya teruskan minat walaupun ada yang meragui arah ini. Platform itu juga meluaskan capaian pelanggan hingga ke luar kawasan asal,” ujarnya.

PMKS tempatan yang berminat menyertai inisiatif ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman rasmi Shopee melalui pautan https://seller.shopee.com.my/edu/article/25573.