SEPANG – Seorang pekerja kontraktor warga Bangladesh maut manakala seorang lagi cedera selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak projek di Cybersouth di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes itu pada jam 4.19 petang
"Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dengkil bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh tujuh kilometer," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, setibanya pasukan di lokasi pada jam 4.27 petang, pihaknya mendapati berlaku tanah runtuh membabitkan dua lelaki.
“Seorang mangsa tertimbus di dalam tanah ketika melakukan kerja di tapak itu, manakala seorang lagi warga Bangladesh mengalami kecederaan patah tangan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang tertimbus disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan," ujarnya.