Kes pelajar ditikam: Kerajaan Selangor beri keutamaan keselamatan sekolah

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Selangor akan memberi keutamaan kepada usaha mempertingkat tahap keselamatan di semua sekolah di negeri ini susulan kejadian tragis melibatkan seorang pelajar perempuan maut ditikam pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya pada Selasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor yang mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan menjelaskan bahawa kes berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur perkauman.

Iklan
Iklan

“Sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan, saya tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui oleh ibu bapa mangsa.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka diberikan kekuatan serta perlindungan dalam menghadapi tragedi ngeri ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurut Amirudin, pihak polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti elemen jenayah dalam kes itu dan akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Beliau menegaskan, sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak dan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan serta komuniti setempat bagi memperkukuh keselamatan di semua sekolah.

Iklan

“Perkara ini akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Beberapa langkah termasuk usaha keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera bagi menjamin keselamatan semua anak-anak kita di sekolah,” tambahnya.