JAKARTA – Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun mencuri perhatian warganet apabila mengahwini wanita muda berusia 24 tahun, dengan memberikan mas kahwin bernilai 3 bilion rupiah (kira-kira RM770,000).
Majlis perkahwinan pasangan berbeza usia itu diadakan di Pacitan, wilayah Jawa Timur pada Rabu lalu dan menjadi tumpuan masyarakat setempat serta media sosial kerana kemewahan serta jurang usia yang ketara.
Pengantin lelaki dikenali sebagai Tarman, manakala isterinya Shela Arika, seorang wanita muda yang digambarkan berperwatakan lemah lembut dan sederhana.
Namun, kegembiraan pasangan itu bertukar menjadi perbualan hangat selepas syarikat videografi yang mengendalikan majlis berkenaan mendakwa mereka tidak menerima bayaran penuh bagi perkhidmatan yang diberikan.
"Saya antara mangsa yang belum dibayar. Sepanjang menjalankan perniagaan ini, inilah kali pertama saya ditipu," kata pemilik syarikat tersebut kepada media tempatan.
Laporan awal yang tular mendakwa Tarman dan isterinya melarikan diri selepas majlis, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.
Namun, polis tempatan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan pasangan tersebut tidak melarikan diri sebaliknya sedang bercuti di daerah Wonogiri selepas majlis perkahwinan mereka.
Kes itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, dengan ada yang memuji kemurahan hati si suami, manakala sebahagian lain mempertikaikan keikhlasan hubungan tersebut.— Agensi