Tujuh klinik bakal terima sumbangan pembaca Sinar Harian

Iklan

SHAH ALAM - Sinar Harian menerusi Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) berharap dapat menyalurkan barang keperluan kepada tujuh klinik kesihatan di sekitar Lembah Klang secara berperingkat mulai hari ini.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, usaha tersebut diharap dapat membantu meringankan beban Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melawan penularan wabak Covid-19.

Iklan
Iklan

"Ini yang kami lakukan dan bagaimana sumbangan anda dibelanjakan.

"Kami membeli barang keperluan bermula hari ini (semalam) dan akan disalurkan secara berperingkat," katanya menerusi satu ciapan di laman Twitter beliau di sini semalam.

Iklan

Dalam pada itu, pembahagian barang akan difokuskan kepada tujuh klinik kesihatan di sekitar Lembah Klang iaitu Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam; Klinik Kesihatan Seri Kembangan dan Klinik Kesihatan Kelana Jaya.

Selain itu, bantuan turut diberikan kepada Klinik Kesihatan Puchong, Klinik Kesihatan Taman Medan, Klinik Kesihatan Kota Damansara dan Klinik Kesihatan Daerah Lembah Pantai.

Iklan

Antara barang keperluan yang diperlukan ialah khemah, alat pelindungan peribadi (PPE), cecair pembasmi kuman, sarung tangan, topeng muka, apron pakai buang dan alat pengimbas suhu badan.

Kesemua barang tersebut akan dikumpulkan di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam dan wakil daripada semua Klinik Kesihatan yang telah dikenalpasti akan mengambil barang terbabit secara berperingkat.

Sinar Harian telah mengaktifkan CovidSinar bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan dalam mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Usaha tersebut juga bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 013-4228802 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).