NORTHPORT (Malaysia) Berhad (Northport) terus mencatat rekod baharu bagi pengendalian kargo konvensional bulanan tertinggi dengan jumlah sebanyak 1,327,883 Freight Weight Tonnes (FWT) pada bulan lalu.
Kejayaan itu mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 1,277,409 FWT yang dicatat pada Oktober 2024.
Prestasi cemerlang tersebut dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen kargo pukal am, yang mencatat 375,169 FWT bulan lalu, iaitu peningkatan sebanyak 18.6 peratus berbanding September 2024, dengan kargo besi dan keluli menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 289,629 FWT.
Segmen kargo pukal cecair pula mencatat 399,086 FWT, peningkatan 27.3 peratus berbanding September 2024, didorong terutamanya oleh peningkatan pengendalian kargo bahan kimia sebanyak 220,147 FWT.
Sementara itu, segmen kargo pukal kering merekodkan 439,003 FWT, peningkatan sebanyak 38.7 peratus berbanding bulan sebelumnya, dengan kargo bijirin jagung menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 122,223 FWT.
Segmen Roll-On Roll-Off (RoRo) turut menunjukkan pertumbuhan positif dengan pengendalian sebanyak 114,625 FWT, iaitu peningkatan 23.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz, berkata pencapaian terbaharu itu menyerlahkan kekukuhan operasi serta kedudukan strategik syarikat dalam ekosistem maritim Malaysia.
“Pencapaian rekod baharu ini mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap kami, dedikasi warga kerja Northport serta keberkesanan inisiatif penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan.
“Walaupun berdepan cabaran berterusan dalam rantaian bekalan global, pasukan kami sekali lagi membuktikan ketahanan dan kecemerlangan dalam pengendalian kargo konvensional,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagi tempoh Januari hingga September lalu, pengendalian kargo konvensional Northport meningkat 4.2 peratus dengan mencatatkan sebanyak 9,600,675 FWT berbanding tempoh sama tahun lalu.
Untuk rekod, Northport telah mengendalikan sejumlah 12,691,633 FWT kargo konvensional pada tahun 2024, iaitu jumlah tahunan tertinggi sejak penubuhan syarikat itu pada tahun 2001.
Tambah Nik Muzani, pencapaian tersebut juga membuktikan komitmen berterusan Northport terhadap kecemerlangan operasi dan kepuasan pelanggan.
“Menjelang suku terakhir tahun ini, kami akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan produktiviti, memperluas keupayaan perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan perdagangan negara melalui operasi pelabuhan yang cekap dan mampan,” ujarnya.
Northport kekal sebagai salah satu pelabuhan pelbagai guna terkemuka di Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan menyeluruh dalam pengendalian kargo kontena dan konvensional.
Syarikat tersebut akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem perdagangan dan perindustrian negara di bawah Kumpulan Pelabuhan MMC.