Universiti, politeknik, kolej komuniti laksana PdP sempena Deepavali - KPT

Iklan
Seluruh IPTA akan melaksanakan sesi PdP secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu sempena sambutan Deepavali Isnin depan. Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Seluruh institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) meliputi universiti, politeknik dan kolej komuniti akan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu sempena sambutan Deepavali Isnin depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan kemudahan itu akan berkuat kuasa Khamis ini sehingga Jumaat minggu depan.

Iklan
Iklan

Jelas kementerian itu, pelaksanaan PdP adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan program akademik masing-masing di institusi terlibat agar tidak menjejaskan perjalanan aktiviti akademik secara keseluruhan.

"Langkah ini diambil bagi memberi ruang dan kemudahan kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu untuk menyambut Deepavali bersama keluarga dalam suasana yang harmoni dan bermakna selaras dengan semangat keterangkuman dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia," katanya pada Isnin.

Iklan

Dalam kenyataan sama, KPT turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

"Semoga perayaan ini membawa cahaya kegembiraan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua," ujarnya.

Iklan

Kira-kira 2 juta masyarakat Hindu akan menyambut Deepavali pada 20 Oktober ini.