SHAH ALAM - Penyedia rangkaian 5G terbaharu di Malaysia, U Mobile menandatangani perjanjian akses borong bersama Eastel, sebuah pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) baharu daripada Anchor Communications yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun depan.
Kontrak selama lima tahun itu merupakan perjanjian akses borong 5G dan 4G pertama U Mobile yang akan menyaksikan syarikat telekomunikasi tersebut menyediakan infrastruktur 5G generasi baharu selain rangkaian 4G bagi perkhidmatan data, suara serta SMS.
Selain itu, U Mobile turut menawarkan sokongan kepada Eastel bagi perkhidmatan panggilan antarabangsa (IDD), perayauan (roaming) dan pemindahan nombor mudah alih.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Kenneth Chang, sebagai penyedia 5G terbaharu di Malaysia, pihaknya bangga dapat mencapai satu lagi pencapaian penting dengan mengumumkan perjanjian akses borong 5G dan 4G pertama bersama Eastel.
“Kerjasama ini menandakan permulaan kepada lebih banyak perjanjian borong 5G pada masa akan datang, terutamanya apabila peluasan rangkaian 5G kami dijangka mencapai 80 peratus liputan kawasan penduduk aktif (CoPA) menjelang separuh kedua tahun depan.
“Dengan rangkaian 4G yang memenangi anugerah dan infrastruktur 5G generasi baharu, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri telekomunikasi untuk memanfaatkan infrastruktur canggih serta kepakaran operasi kami,” katanya.
Langkah tersebut katanya, turut mencerminkan komitmen U Mobile dalam menyokong ekonomi digital negara menerusi kepelbagaian pasaran dan peningkatan daya saing.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Eastel, Aaron Lee berkata, pihaknya berbesar hati menjadi rakan borong 5G dan 4G pertama U Mobile.
“Sinergi ini merupakan satu pencapaian penting ketika kami bersiap sedia untuk melancarkan jenis MVNO baharu yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi pencipta (creator economy) dan gig di Malaysia.
“Dengan memanfaatkan rangkaian 5G dan 4G berkelajuan tinggi milik U Mobile, kami berhasrat menyokong lebih banyak aplikasi khusus dan intensif data bagi komuniti tempatan. Bersama U Mobile, kami ingin membina Malaysia yang lebih kukuh dan saling berhubung,” kongsinya.
Dengan termeterai perjanjian akses borong berkenaan, Eastel akan memanfaatkan infrastruktur 5G generasi baharu dan rangkaian 4G U Mobile untuk menawarkan perkhidmatan serta penyelesaian mudah alih yang disesuaikan mengikut segmen pasaran sasaran mereka.