Mentaliti juara rahsia dominasi Terengganu

Iklan
Terengganu mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Pahang dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto: MHC

PENGENDALI skuad hoki lelaki Terengganu, Mohd Harfizi Baharom menegaskan bahawa keyakinan tinggi dalam kalangan pemain menjadi antara faktor utama kejayaan pasukan itu mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Pahang 4-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Menurut Harfizi, tahap keyakinan dan kematangan yang ditunjukkan pemain muda, walaupun digandingkan bersama tonggak berpengalaman seperti Faizal Saari dan Firhan Ashari menjadi nadi kekuatan pasukan dalam mengekang asakan lawan sepanjang perlawanan.

Iklan
Iklan

“Salah satu faktor utama adalah tahap keyakinan pemain yang sangat luar biasa untuk memenangi perlawanan, walaupun kami tahu Pahang antara pasukan paling kuat dalam kejohanan kali ini.

“Pemain muda tidak gentar dan menunjukkan kematangan yang baik, bekerjasama dengan pemain berpengalaman untuk mencapai objektif pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Dalam aksi final tersebut, Terengganu mempamerkan corak permainan bertenaga sejak wisel permulaan sebelum Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee membuka tirai jaringan pada minit ke-19.

Faizal kemudian menggandakan kedudukan melalui pukulan penalti strok pada minit ke-23 sebelum meledak gol kedua peribadi hasil gerakan solo menarik enam minit kemudian, meletakkan pasukan selesa mendahului 3-0.

Iklan

Momentum Terengganu terus utuh apabila Darwisy Hamdan menambah gol keempat pada minit ke-36, manakala Pahang cuba bangkit menerusi dua jaringan masing-masing oleh Muhammad Syawal Abdul Razak (m-42) dan Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim (m-52).

Namun, skuad Tok Gajah masih gagal menafikan kemenangan mutlak skuad Sang Penyu yang tampil lebih tersusun dan berdisiplin sepanjang 60 minit permainan.

Mengulas hala tuju pasukan selepas kejayaan berganda itu, Harfizi berharap kesinambungan pembangunan pemain dapat diteruskan bagi melahirkan kelompok lebih besar pemain berkualiti di Terengganu.

“Saya mahu kesinambungan pembangunan pemain diteruskan untuk membentuk kumpulan pemain yang lebih besar di Terengganu.

“Disebabkan format kejohanan berubah setiap tahun, saya tidak pasti sama ada skuad ini akan kekal atau berubah kerana ada pemain yang turut bersama skuad kebangsaan,” ujarnya.

Pada edisi 2024, Terengganu turut muncul juara selepas menewaskan Johor 2-1 dalam aksi final di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.