Ekspo TVET@KKDW bawa makna besar

Iklan
Kejayaan Ekspo TVET@KKDW 2025 menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran program TVET berskala besar di negara ini.

IPOH - Penganjuran Ekspo TVET@KKDW 2025 mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik kehadiran 333,560 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung sejak Jumaat lalu.

Keadaan itu sekali gus membuktikan minat dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Iklan
Iklan

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKWD), Datuk Rubiah Wang berkata, sambutan itu memperlihatkan keutuhan kerjasama antara pelbagai pihak dan menjadi simbol komitmen kerajaan memartabatkan TVET sebagai agenda nasional yang mendukung masa depan negara.

"Ekspo ini bukan sahaja menonjolkan sinergi antara pelbagai agensi dan rakan industri, malah menjadi lambang bahawa TVET kini semakin diyakini sebagai laluan kerjaya berdaya saing serta peluang keusahawanan," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Ekspo TVET@KKDW 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini pada Ahad.

Iklan

Penganjuran kali ketujuh tersebut menggabungkan penyertaan fizikal dan secara dalam talian menerusi platform digital rasmi KKDW, membolehkan capaian lebih luas kepada pelajar, belia serta masyarakat luar bandar.

Ekspo sama akan terus menjadi platform utama KKDW dalam mempromosikan potensi besar pendidikan dan latihan TVET, sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan promosi, pengiktirafan dan kolaborasi strategik antara pelbagai pihak berkepentingan.

Iklan

Majlis perasmian ekspo pada Sabtu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menandakan pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap pembangunan modal insan berasaskan kemahiran.

Bertemakan 'TVET Masa Depan: Berkemahiran, Berinovasi, Berteknologi Tinggi', ekspo kali ini menampilkan pelbagai aktiviti bernilai tambah melibatkan agensi di bawah KKDW, institusi TVET awam dan swasta serta pemain industri utama.

Antara tarikan utama ialah demonstrasi teknologi terkini dalam bidang automasi, digitalisasi, dron dan kecerdasan buatan (AI), selain Karnival Kerjaya MyFutureJobs yang menawarkan lebih 2,400 peluang pekerjaan daripada 19 syarikat kepada graduan dan pencari kerja berkemahiran tinggi.

Rubiah berkata, kejayaan Ekspo TVET@KKDW 2025 menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran program TVET berskala besar di negara ini.

Katanya, ekspo sama akan terus menjadi platform utama KKDW dalam mempromosikan potensi besar pendidikan dan latihan TVET, sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan promosi, pengiktirafan dan kolaborasi strategik antara pelbagai pihak berkepentingan.

"Kementerian amat berbangga kerana ekspo ini bukan sekadar pameran kemahiran, tetapi wahana pembentukan minda dan semangat baharu dalam kalangan pelajar, belia dan masyarakat terhadap potensi sebenar TVET," ujarnya.

Pertandingan kemahiran, inovasi cerminan kehebatan pelajar TVET

Rubiah berkata, sebanyak 15 pertandingan kemahiran, kreativiti dan inovasi diadakan sepanjang ekspo berlangsung, membabitkan penyertaan pelajar dari institusi latihan awam, swasta dan sekolah.

Pertandingan berkenaan meliputi pelbagai bidang termasuk sukan elektronik (e-sukan), robattle, operasi dron, AI, cabaran kulinari, fesyen serta inovasi produk pengguna dan automotif.

"Pertandingan ini bukan sekadar pentas untuk bertanding, tetapi medan pelajar menonjolkan bakat dan kemahiran sebenar dunia pekerjaan.

"Ia membina keyakinan dan semangat berdaya cipta yang amat penting dalam menghadapi cabaran industri masa depan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan peserta supaya mendaftarkan hak cipta atau mempatenkan hasil inovasi melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi melindungi karya mereka sebagai hak eksklusif dan bersedia untuk dikomersialkan.

Majlis perasmian ekspo pada Sabtu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menandakan pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap pembangunan modal insan berasaskan kemahiran.

Selain pameran dan pertandingan, ekspo kali ini turut diserikan dengan program berimpak sosial seperti TVET Cilik, TVET Komuniti dan Program Selenggara Elektrik Rumah Impian (SERI).

Melalui Program SERI, seramai 50 keluarga B40 di sekitar Perak menerima perkhidmatan penyelenggaraan elektrik secara percuma oleh pelatih institusi TVET.

"Inisiatif ini membuktikan bahawa TVET bukan sahaja melahirkan tenaga mahir, tetapi juga mengasuh jiwa keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelatih.

"Kementerian kekal komited memperkukuh ekosistem TVET melalui inisiatif promosi, peningkatan kualiti latihan dan kerjasama strategik industri," katanya.

H: Giat Mara dinobat johan keseluruhan

Ekspo TVET@KKDW 2025 menyaksikan Giat Mara dinobatkan sebagai penerima Anugerah Johan Keseluruhan dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,000.

Anugerah itu hasil kemenangan institusi berkenaan antaranya tempat kedua pertandingan kemahiran filem pendek AI; johan pertandingan kreativiti dan inovasi (pendidikan) oleh Giat Mara Bayan Lepas dan pertandingan arca kreatif (Giat Mara Paya Besar).

Sementara itu, Giat Mara Ledang yang menampilkan rekaan ‘Intelligent Socket Power’ dan wakil Giat Mara Kuala Lumpur, Shahnin Abdullah dengan rekaan ‘Braille In Embroidery’ masing-masing menerima Anugerah Inovasi Terbaik dan Anugerah Juri, masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.