BACHOK – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan membina Rumah Pam Kasa Kedua bernilai RM28 juta di Pasir Mas bagi memperkukuh sistem pengairan sawah seluas 10,000 hektar, yang akan memberi manfaat kepada lebih 2,700 petani.
Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa berkata, projek berkeluasan lebih 1.4 hektar itu merupakan antara 18 projek utama yang diluluskan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM400 juta.
Menurutnya, dokumen berkaitan kini dalam proses penyediaan termasuk tender dan lawatan tapak, sebelum kerja pembinaan dijangka dimulakan pada pertengahan tahun depan.
“Pembinaan Rumah Pam Kasa Kedua ini akan menambah kapasiti sistem sedia ada di Pasir Mas.
“Tapak baharu telah diluluskan bersebelahan rumah pam asal berhampiran Sungai Kelantan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028,” katanya ketika ditemui pada Program Penuaian Padi Kawasan Bachok di Kampung Keting, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Luqman Ahmad.
Mohd Faizul berkata, kemudahan itu akan memastikan bekalan air ke kawasan sawah dapat disalurkan secara lebih konsisten, terutama ketika musim kemarau.
“Isu asas bagi pesawah di Kelantan ialah pengairan, dan apabila asas ini dibaiki, barulah hasil padi dapat ditingkatkan.
“Jadi, perhatian kerajaan pusat terhadap perkara ini amat dihargai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pesawah agar mematuhi jadual pengairan yang ditetapkan bagi mengelak pembaziran tenaga dan kos operasi.
“Kos operasi pam air mencecah antara RM700,000 hingga RM800,000 sebulan.
“Justeru, kerjasama pesawah sangat penting bagi memastikan sumber ini digunakan secara optimum,” katanya.