PTPTN guna data e-Kasih tukar pinjaman kepada biasiswa mulai 2026

Iklan
Norliza. - Foto fail SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) buat pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar berdasarkan data e-Kasih yang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan ditukar kepada biasiswa bermula 2026.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, langkah itu dibuat selaras komitmen pihaknya dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang inklusif.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pendekatan sebegitu juga diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan memberi ruang kepada golongan berkenaan untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian.

Jelasnya, sebagai penghargaan kepada mereka yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA, kerajaan memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN untuk peminjam berpendapatan B40 dan M40.

Iklan

"Pada masa sama, kerajaan menekankan kepentingan kelestarian dana PTPTN demi memastikan generasi masa depan turut berpeluang menikmati kemudahan pembiayaan pendidikan tinggi.

"PTPTN merupakan kemudahan pinjaman yang perlu dilunaskan semula bagi menjamin kesinambungan dana kepada peminjam baharu. Justeru, sekatan perjalanan ke luar negara bakal dilaksanakan secara bersasar terhadap peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan.

Iklan

"Inisiatif ini mencerminkan semangat pembaharuan nasional dan komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat serta kelestarian pendidikan negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah Norliza lagi, perincian lanjut mengenai pelaksanaan inisiatif tersebut akan diumumkan oleh PTPTN dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kerajaan mengumumkan pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin, berpendapatan RM2,705 dan ke bawah yang mengikuti pengajian di IPTA bermula tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM120 juta setahun disediakan dalam Belanjawan 2026 untuk melaksanakan insentif tersebut.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua mahasiswa yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah dan menengah.

Jelasnya lagi, langkah mengecualikan bayaran balik PTPTN memanfaatkan 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.

Mengulas lanjut, Norliza berpandangan, pembentangan Belanjawan 2026 pada dua hari lalu memberikan manfaat buat peminjam PTPTN.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN menyambut baik pengumuman kesemua inisiatif ini di bawah Belanjawan 2026.

"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan terhadap kebajikan peminjam serta pelajar," ujarnya.