Norway hampiri Piala Dunia

Iklan
Haaland meledak tiga gol ketika Norway benam cabaran Israel dalam aksi kelayakan Piala Dunia Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat 2026 di Stadium Ullevaal. FOTO: AGENSI

PENYERANG sensasi Norway, Erling Haaland, terus membuktikan ketajamannya apabila meledak tiga gol bagi membantu pasukannya membenam Israel 5-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat 2026 di Stadium Ullevaal yang disaksikan 19,363 penonton.

Kemenangan besar itu bukan sekadar melonjakkan Norway kekal selesa di tangga teratas Kumpulan I, malah menyalakan semula impian mereka untuk menamatkan kemarau penampilan di Piala Dunia sejak kali terakhir layak pada 1998.

Iklan
Iklan

Permulaan perlawanan berlangsung penuh dramatik apabila penjaga gol Israel, Daniel Peretz, dua kali menafikan sepakan penalti Haaland dalam tempoh lima minit pertama.

Namun, nasib pasukan pelawat mula berubah apabila hantaran lintang Alexander Sorloth disambar pemain Israel sendiri, Anan Khalaili yang tertampan bola ke gawang sendiri untuk memberikan tuan rumah kelebihan awal minit ke-18.

Iklan
Haaland meledak tiga gol ketika Norway benam cabaran Israel dalam aksi kelayakan Piala Dunia Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat 2026 di Stadium Ullevaal. FOTO: AGENSI

Gol itu menaikkan semangat Norway yang terus menekan dan hasilnya, penyerang Manchester City itu menebus kekecewaan awal dengan rembatan kaki kanan yang kencang untuk menggandakan kedudukan minit ke-27.

Gol ketiga pula hadir secara tidak disangka minit ke-28 apabila sepakan keluar Peretz terkena rakan sepasukannya Idan Nachmias menyebabkan bola masuk ke gawang sendiri dan memberi kelebihan tiga gol buat skuad kendalian Stale Solbakken.

Iklan

Separuh masa kedua, Norway terus menguasai permainan menyaksikan Haaland menambah derita Israel dengan tandukan padu bagi gol kedua peribadi minit ke-63.

Penyerang berusia 25 tahun itu kemudian melengkapkan hatrik keenam bersama Norway pada minit ke-72 selepas menyambar hantaran lintang Antonio Nusa.

Ledakan tersebut mengangkat jumlah jaringan antarabangsa Haaland kepada 51 gol dalam 46 penampilan, menjadikannya pemain terpantas dalam sejarah menjaringkan 50 gol antarabangsa memecahkan rekod Harry Kane yang memerlukan 71 perlawanan untuk mencapai angka itu.

Haaland kini hanya empat hatrik di belakang dua ikon dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi yang berkongsi rekod terbanyak hatrik di peringkat antarabangsa.

Kemenangan bergaya itu juga meletakkan Norway semakin hampir untuk kembali ke pentas Piala Dunia selepas 28 tahun menunggu di samping membuka peluang melangkah ke kejohanan utama pertama sejak Euro 2000.