MAIDAM kumpul dana wakaf RM89,250

Iklan
Peserta Fun Run & Ride For Waqf 2025 memulakan kayuh basikal sejauh 40km di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Gabungan riadah, kesihatan mental dan amalan rohani berjaya menarik hampir 1,800 peserta dalam Program Mental Health Fun Run and Ride for Waqf 2025, sekali gus mengumpul dana wakaf berjumlah RM89,250.

Program edisi kedua anjuran bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu diadakan sempena Bulan Wakaf Negeri Terengganu 2025 dengan konsep penganjuran lebih segar dan inklusif.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, sambutan tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding penganjuran sulung tahun lalu yang disertai 1,000 peserta.

“Kita bersyukur kerana sambutan terhadap program ini sangat memberangsangkan.

Iklan

“Ia sebenarnya bukan sekadar aktiviti riadah tetapi satu pendekatan mendidik masyarakat agar menjadikan amalan berwakaf sebagai sebahagian daripada gaya hidup,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini pada Sabtu.

Peserta Fun Run & Ride For Waqf 2025 bersemangat memulakan larian.

Iklan

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali dan Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Ahmad Azrin berkata, setiap peserta dikenakan bayaran penyertaan RM50 dan semua kutipan disalurkan terus ke Tabung Dana Wakaf MAIDAM Terengganu untuk membiayai pelbagai projek pembangunan wakaf di seluruh negeri.

“Kita gabungkan tiga aspek utama dalam penganjuran ini iaitu kesihatan fizikal melalui aktiviti larian sejauh lima kilometer (km) dan kayuhan 40km, kesihatan mental melalui suasana santai dan hubungan kekeluargaan serta kesihatan rohani menerusi amalan berwakaf,” jelasnya.

Tambah beliau, program itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta yang hadir bersama keluarga termasuk kanak-kanak dan warga emas, masing-masing mengambil bahagian mengikut kemampuan.

“Ada mengambil peluang bergambar di Jambatan Angkat (Drawbridge) sambil menikmati keindahan panorama Kuala Terengganu.

“Ini menunjukkan aktiviti berasaskan komuniti seperti ini mampu menceriakan minda dan mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata, Fun Run and Ride for Waqf 2025 merupakan antara pengisian utama Bulan Wakaf Negeri Terengganu yang julung kali diadakan tahun ini untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap potensi wakaf.

“Kemuncak program Bulan Wakaf Negeri Terengganu berlangsung pada 23 Oktober ini dan akan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Yang di-Pertuan Muda Terengganu,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta, penaja dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan penganjuran berkenaan.

“Kita yakin pendekatan seperti ini mampu menjadikan wakaf sebagai pemangkin pembangunan ekonomi ummah pada masa hadapan,” ujarnya.