MELAKA - Memandu sejauh 250 kilometer (km) yang mengambil masa selama empat jam berbaloi buat Nur Kamarulalam Saiful, 35, apabila dia berjaya memenangi Pertandingan Memancing Amal sempena Kempen Tabung Pahlawan anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pantai Tambak Klebang di sini pada Sabtu.
Dia berjaya menjinakkan ikan pari seberat 3.220 kilogram (kg) tepat jam 9.46 pagi, sekali gus menewaskan lebih 700 peserta lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000.
Tempat kedua disandang oleh Hasim Mukri dari Batu Pahat, Johor yang menaikkan ikan pari 2.315kg, manakala Tuan Ahmad Zulfadli dari Selangor yang menjinakkan ikan mayong seberat 1.99kg mendapat tempat ketiga.
Hasim berpuas hati dengan RM4,000 manakala Tuan Ahmad Zulfadli pula menerima RM2,000 dan hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JHEV, Sophian Isswandy Ismail dan pengarah program, Leftenan Kolonel Salim Ibrahim.
Nur Kamarulalam berkata, dia menempuh perjalanan lebih 250km dari Rompin, Pahang semata-mata kerana minat dengan acara memancing kategori pantai.
“Saya bergerak dari Rompin selepas Maghrib dan tiba di lokasi pertandingan hampir 1 pagi. Memang penat tetapi kerana minat mendalam, apa pun halangan insya- ALLAH akan saya tempuhi.
“Di awal pertandingan, beberapa rakan pemancing di kiri dan kanan saya, berjaya menaikkan tangkapan masing-masing. Namun kegusaran saya hilang apabila umpan yang saya gunakan disambar pari. Saya ambil masa hampir lima minit untuk menaikkannya ke darat,’’ katanya.
Sementara itu, kejayaan penganjuran kali ini akan menjadi penguat semangat kepada JHEV untuk terus menganjurkan acara sama tahun depan.
Acara berkenaan merupakan antara program memperkenalkan Tabung Pahlawan kepada masyarakat umum.
Selain memancing, peserta dan pengunjung turut berpeluang menyumbang kepada Tabung Pahlawan dan menyertai cabutan bertuah yang disediakan penganjur bagi membantu veteran tentera yang kurang bernasib baik.
Berdasarkan rekod, terdapat seramai 117,174 orang veteran tentera berpencen, 72,336 veteran tidak berpencen dan 31,954 penerima pencen terbitan.