GEORGE TOWN - Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia di dalam rumahnya di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam di sini, petang Sabtu, selepas pasukan bomba berjaya membuka pintu kediaman yang berkunci dari dalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 petang berhubung kejadian berkenaan.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong yang diketuai seorang pegawai bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh tiga kilometer.
“Ketika tiba di lokasi pada jam 4.02 petang, pasukan membuat penilaian awal (‘size-up’) sebelum menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu rumah yang berkunci,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, selepas pintu berjaya dibuka, pasukan bomba menemui seorang wanita warga emas yang tidak sedarkan diri di dalam rumah berkenaan.
“Mangsa dikenali sebagai P Sarojah, 80, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.17 petang.