Bapa melecur selamatkan anak dalam kebakaran

Iklan
Beberapa kenderaan turut musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Menteri, Taiping pada Sabtu.

TAIPING – Seorang bapa melecur di bahagian kepala dan tangan dipercayai ketika menyelamatkan anaknya yang berusia enam tahun dalam kebakaran di Kampung Parit Menteri, di sini pada Sabtu.

Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.01 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping bersama BBP Kamunting kemudian bergegas ke lokasi sejauh kira-kira 10 kilometer dan tiba pada jam 2.18 petang.

“Seorang mangsa lelaki berusia 50 tahun mengalami kecederaan melecur kira-kira dua peratus di bahagian kepala dan tangan berjaya keluar dengan sendiri bersama anak beliau berumur 6 tahun.

Iklan

“Kedua-dua mereka berjaya keluar dari rumah sebelum operasi pemadaman dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Shazlean berkata, mangsa yang cedera bersama anaknya telah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Iklan

Jelasnya, selain rumah, dua buah kereta jenis Toyota KE20 dan Datsun turut musnah masing-masing 70 dan 20 peratus, manakala sebuah motosikal Suzuki RC terbakar kira-kira tiga peratus.

Menurutnya, operasi melibatkan 16 anggota itu menggunakan satu aliran hos sepanjang 100 kaki dan satu salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera serta sungai berhampiran bagi memadam kebakaran.

Katanya, api berjaya dikawal pada jam 2.36 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.37 petang.