YTL Communications jadi peneraju 5G Advanced pertama di Malaysia, kesembilan di dunia

Iklan
YTL Communications catat sejarah, lancar 5G Advanced pertama di Malaysia, kesembilan di dunia.

KUALA LUMPUR – YTL Communications mencipta sejarah apabila menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia dan kesembilan di dunia yang melancarkan rangkaian 5G Advanced secara komersial menerusi jenama perkhidmatannya, Yes.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wing K Lee berkata, pelancaran 5G Advanced bukan sekadar menaik taraf rangkaian sebaliknya satu langkah perubahan besar kepada landskap komunikasi negara.

Iklan
Iklan

“Yes merupakan pelopor 4G dan 5G di negara ini dan kini menjadi yang pertama memperkenalkan 5G Advanced sekali gus mengangkat Malaysia antara peneraju teknologi komunikasi dunia.

“Dengan 5G Advanced, rakyat Malaysia akan menikmati liputan 5G yang lebih luas dan mendalam serta rangkaian tanpa wayar berprestasi tinggi yang belum pernah dilihat sebelum ini,” katanya selepas majlis ‘Future First Tech-Talk by Yes’ di Sentul Depot pada Khamis.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee membuat ucapan dalam majlis ‘Future First Tech-Talk by Yes’ di Sentul Depot, Kuala Lumpur pada Khamis.

Majlis pelancaran itu menyaksikan demonstrasi teknologi 5G Advanced oleh Yes termasuk kelajuan muat turun dan muat naik terbaik dalam kelasnya, kependaman ultra rendah serta keupayaan ‘advanced network slicing’ dengan keutamaan kualiti perkhidmatan yang memastikan sambungan konsisten di seluruh rangkaian Yes 5G.

Iklan

Menerusi gabungan spektrum 700MHz dan 3500MHz, rangkaian Yes 5G Advanced menyediakan liputan lebih luas dan kuat, memastikan sambungan 5G lebih stabil untuk data serta panggilan suara berasaskan teknologi Voice over New Radio (VoNR).

Pelancaran itu telah dilaksanakan di Lembah Klang dan dijangka siap sepenuhnya di seluruh negara menjelang Disember 2025 dengan menawarkan liputan 5G yang lebih meluas, prestasi lebih pantas serta sambungan sedia teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk manfaat pengguna mahupun perniagaan.

Tambah beliau, pelancaran 5G Advanced bukan hanya memberi manfaat kepada pengguna tetapi turut berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui pembangunan sektor industri berasaskan teknologi pintar.

“Ini bukan sekadar untuk rakyat Malaysia tetapi keseluruhan ekonomi. Saya yakin 5G Advanced boleh menjadi platform pemangkin kepada kemajuan baharu seperti penjagaan kesihatan pintar dan pembuatan berteknologi tinggi di seluruh negara.

“Apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, semua pihak akan menikmati manfaatnya kerana kita menjana lebih banyak pendapatan dan menuju ke arah negara berpendapatan tinggi,” jelasnya.

Menurutnya, pelaksanaan 5G Advanced menuntut tahap keupayaan teknikal yang tinggi dan cabaran lebih besar apabila dilaksanakan pada skala nasional.

“Ia memerlukan kepakaran teknikal rumit namun saya bangga kerana pasukan kami terdiri daripada jurutera berpengalaman yang telah melaksanakannya dengan berjaya.

“Melakukan ujian percubaan di satu lokasi mungkin mudah tetapi melaksanakannya di seluruh negara adalah cabaran yang jauh lebih kompleks. Kami telah mencuba dan berbangga dapat berkongsi pencapaian ini,” ujarnya.

Majlis pelancaran Future First Tech-Talk by Yes menyaksikan demonstrasi teknologi 5G Advanced termasuk kelajuan muat turun dan muat naik terbaik dalam kelasnya, kependaman ultra rendah serta keupayaan ‘advanced network slicing’.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Datuk Azman Ismail berkata, pelancaran 5G Advanced oleh YTL Communications menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi negara.

“Dengan fungsi network slicing 5G Advanced kini diaktifkan di seluruh negara dan penambahbaikan rangkaian yang sedang dijalankan di Lembah Klang, kami menantikan kerjasama rapat dengan YTL Communications bagi mempercepat pelaksanaan penuh rangkaian berasaskan AI menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata, pelancaran 5G Advanced oleh YTL Communications menandakan satu bab baharu dalam perjalanan digital Malaysia.

“Evolusi 5G ini akan memberikan pengalaman mudah alih bertaraf dunia kepada pengguna dengan penstriman yang lebih lancar.

“Pencapaian ini didorong oleh keupayaan canggih rangkaian 5G DNB yang dibangunkan menggunakan teknologi Ericsson dan sentiasa dipertingkatkan melalui kemas kini perisian bagi memastikan ia kekal sebagai rangkaian paling pintar serta berprestasi tinggi di dunia,” katanya.