Sekolah awam dibakar kumpulan bersenjata di Papua

Iklan
Sekolah awam di kampung Mangoldolki, Pergunungan Bintang, terbakar akibat serangan kumpulan bersenjata pada Rabu.

JAYAPURA – Sekumpulan individu bersenjata dilaporkan melakukan serangan dengan membakar sebuah sekolah awam di kampung Mangoldolki, daerah Pergunungan Bintang, Papua, pada Rabu.

Menurut laporan media tempatan, serangan itu berlaku sekitar jam 5 pagi waktu tempatan apabila kumpulan terbabit menyerang sekolah rendah berkenaan menggunakan bahan mudah terbakar sebelum melarikan diri ke kawasan pergunungan berhampiran.

Iklan
Iklan

Jurucakap Tentera Nasional Indonesia (TNI) wilayah Papua, Kolonel Candra Kurniawan berkata, tiada pelajar atau penduduk tercedera dalam kejadian itu namun bangunan sekolah musnah sepenuhnya.

“Pasukan keselamatan kini digerakkan untuk menjejaki suspek yang dipercayai anggota kumpulan bersenjata tempatan. Kawasan sekitar lokasi turut dikawal ketat bagi mengelak serangan susulan,” katanya.

Iklan

Tambahnya, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan insiden tersebut bermotif politik dan berkait dengan konflik berlarutan di wilayah itu.

Kejadian terbaharu ini menambah siri serangan terhadap infrastruktur awam di Papua sejak beberapa bulan lalu yang turut menjejaskan operasi pendidikan dan kesihatan. -ANTARA

Iklan