Gempar ‘bom tangan’ di KKIA, rupanya mainan

Iklan
Insiden mencemaskan di KKIA apabila objek disangka bom tangan ditemui di balai pelepasan. Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) gempar apabila satu objek menyerupai bom tangan ditemui di kawasan Balai Pelepasan Domestik dan Antarabangsa, petang tadi.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.40 tengah hari itu tidak membabitkan sebarang ancaman apabila hasil siasatan mendapati objek berkenaan hanyalah alat permainan kanak-kanak yang menyerupai hand grenade.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan objek mencurigakan tersebut.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat yang diterima, Ketua Polis Balai KKIA bersama pasukan keselamatan segera menjalankan pemeriksaan di lokasi dan menemui satu objek berwarna hitam di atas tiang penghadang, berhampiran pintu masuk balai berkenaan.

Iklan

“Susulan itu, kawalan keselamatan telah dilaksanakan di kawasan terbabit bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang kanak-kanak lelaki berpakaian seragam sekolah bersama seorang wanita telah meletakkan objek tersebut di lokasi sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang diketuai Deputi Superintenden Polis John Batius dipanggil ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati objek tersebut bukan bahan letupan, sebaliknya alat permainan kanak-kanak yang menyerupai bom tangan,” katanya.

Sehubungan itu, Kasim menasihatkan orang awam agar tidak meninggalkan sebarang objek mencurigakan di tempat awam yang boleh menimbulkan kegusaran.

“Orang awam juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini,” tegasnya.