Inkues Zara Qairina: Pusingan kedua periksa 11 eksibit bermula hari ini - Peguam

Iklan
Pasukan pakar forensik dokumen dijadualkan hadir ke Mahkamah Koroner bagi pusingan kedua pemeriksaan terhadap 11 eksibit yang dikemukakan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, bermula Jumaat.

KOTA KINABALU - Pasukan pakar forensik dokumen dijadualkan hadir ke Mahkamah Koroner bagi pusingan kedua pemeriksaan terhadap 11 eksibit yang dikemukakan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, bermula Jumaat.

Peguam Shahlan Jufri berkata, pemeriksaan tersebut akan diteruskan selama dua hari lagi pada Isnin dan Selasa depan.

Iklan
Iklan

"Pasukan ini dianggotai oleh Pemeriksa Tay Eue Kam (Dokumen Forensik Bebas) dan Dr Dzulkiflee Ismail; serta Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa (Pensyarah dan Penyelidik Kanan Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM)).

"Pemeriksaan ini bertujuan memeriksa 11 item bahan dokumen yang baru dibuka oleh saksi ke-17 untuk membandingkan mereka dengan bahan-bahan eksibit lain yang sudah ditender di mahkamah dan juga bahan-bahan dokumen dibekalkan oleh anak guam kami," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, Shahlan berkata, prosiding inkues melibatkan saksi kanak-kanak seterusnya dijadualkan bersambung semula pada Isnin selepas selesai dengan keterangan saksi kanak-kanak ke-10 pada Khamis.

Sebelum ini, sebanyak 37 eksibit telah dikemukakan dalam prosiding inkues tersebut dan dibuka secara rasmi oleh saksi ahli kimia, Nor Aidora Saedon, pada Selasa lalu.

Iklan

Shahlan bersama rakan sepasukannya, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James, mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, yang hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.